Tuesday, 12 August 2014

> Cara Amalan Tasbih Guna Jari

Berzikir menggunakan jari adalah satu sunnah dalam Islam sama ada jari kanan atau kiri. Ini adalah amalan turun temurun di kalangan orang-orang Islam. Selepas zaman sahabat dan zaman awal tabi’in baru masuk penggunaan zikir dengan biji atau batu yang disusun dengan benang. Kemudian ia dikenali dengan nama al-subhah dan menjadi lambang gerakan sufi yang melampau atau rafidah. Lebih teruk lagi, ada yang mendakwa elok digantung pada leher dan menjadi lambang para malaikat.

Hal yang perlu diketahui ramai ialah, sabit dalam sunnah sama ada secara qawli, fi’li atau taqriri bahawa yang diajar ialah mengira zikir dengan menggunakan jari. Cara inilah yang dilakukan zaman berzaman. Ia membuktikan bahawa Islam ini mudah dan hukum-hukumnya berada dalam lingkungan kemampuan umat Islam. Namun, apakah penggunaan alat tasbih yang diamalkan oleh kebanyakan masyarakat kita itu salah dan terus boleh dilabelkan sebagai bid’ah? Tidak sesekali perlu dilabelkan seperti itu, bahkan ini mungkin akan mengundang perbalahan dan pertelingkahan dalam masyarakat.

Dari segi sejarahnya, Rasulullah s.a.w. mengajar umat Islam membilang zikir dengan jari jemari. Tiada satu hadis sahih yang diriwayatkan tentang zikir menggunakan batu atau biji-bijian. Kebanyakan hadis yang disebut adalah hadis yang lemah. Selepas itu muncul alat subhah atau rantai tasbih. Sumber-sumber sejarah menyatakan bahawa subhah ini adalah benda baru yang dimasukkan dalam agama Islam. Ada pendapat mengatakan bahawa ia mula dikenali sejak 800M. Ia adalah antara cara peribadatan kalangan penganut budha, hindu dan lain-lain. Banyak sumber-sumber sejarah yang dikemukakan oleh Syeikh Bakr Abu Zayd r.h antaranya ialah al-mawsu’ah al-arabiyyah al-muyassarah, dairah al-ma’arif al-Islamiyyah dan fatawa Rashid Rida.

Maka, ditegaskan bahawa rantai tasbih atau biji tasbih yang digunakan untuk membilang tasbih atau zikir yang dilakukan oleh seseorang tidak wujud pada zaman Rasulullah s.a.w. Bahkan pada zaman sahabat ataupun tabi’in rantai tasbih ini masih tidak digunakan. Oleh kerana itu, sesetengah pakar sejarah berpendapat ia mula dikenali dalam masyarakat Islam apabila dibawa masuk oleh masyarakat non muslim. Justeru, sebahagian ulama mengkategorikan ia sebagai bid’ah. Dalam Islam, semenjak zaman para al-salaf al-soleh, mereka membilang bilangan tasbih dan zikir mereka dengan menggunakan jari jemari. Ada riwayat yang mengatakan sebahagian al-salaf membilang tasbih dan zikir mereka dengan menggunakan batu-batu kecil. (Al-Sharbasi, Yas’alunaka fi al-Din wa al-Hayah 6/477). Namun riwayat-riwayat tersebut dihukumkan lemah oleh ulama. (Bakr Abu Zayd, al-Subhah 7-16).

Sheikh Uthaimin dan al-Sharbasi ada menegaskan sekiranya seseorang mempunyai niat ikhlas menggunakan rantai tasbih untuk membantunya membilang jumlah tasbih dan zikir, maka ia tidak salah. Manakala jika sekiranya, seseorang menggantungkan rantai tersebut pada tengkuk dan lehernya semata-mata kerana tujuan riya’, menunjuk-nunjuk atau sebagainya, ia adalah perbuatan yang dilarang. Begitu juga sekiranya ia sentiasa memegang rantai tasbihnya untuk menunjuk-nunjuk atau hanya untuk bermain-main tanpa berzikir sebagaimana yang dilakukan oleh kebanyakan orang awam, maka ia wajib dihindari. InsyaAllah, mudahan-mudahan masyarakat Islam di Malaysia tidak ada yang melakukan perbuatan seperti itu.

Namun yang perlu ditekankan ialah lebih afdhal baginya menggunakan jari jemarinya sendiri. Hal ini kerana menggunakan jari adalah cara sunnah yang diajarkan Nabi s.a.w. serta ditunjukkan oleh para sahabat r.a. Tambahan pula, jari-jari yang digunakan untuk membilang zikir-zikir tersebut akan menjadi saksi untuk kita pada hari akhirat nanti. Firman Allah Taala (Yasin : 65) :
Maksudnya: “Pada waktu itu Kami meteraikan mulut mereka (sejurus); dan (memberi peluang kepada) tangan-tangan mereka memberitahu Kami, dan kaki mereka pula menjadi saksi tentang apa Yang mereka telah usahakan”.

Sabda Nabi s.a.w kepada wanita :
يَا مَعْشَرَ النِّسَاءِ اعْقِدْنَ بِالْأَنَامِلِ فَإِنَّهُنَّ مَسْئُولَاتٌ مُسْتَنْطَقَاتٌ

Maksudnya : “Wahai sekalian wanita, gunalah jari jemari (untuk membilang zikir) kerana sesungguhnya ia akan disoal dan berkata-kata”.

Oleh itu, untuk memperbaiki dan mencantikkan lagi zikir kita, seeloknya kita mengikut cara tunjuk ajar sunnah Nabi s.a.w. Mudah-mudahan Allah Taala menerima segala amalan dan niat ikhlas kita untuk menjadi pengikut setia Rasulullah s.a.w.